About Me

Nama saya MH Hamzah.

Saya bukan guru marketing yang menjual teori kosong atau sekadar “air liur”. Apa yang saya kongsikan di sini datang daripada pengalaman sebenar menjalankan bisnes, bukan daripada slide seminar atau cerita rekaan.

Perjalanan bisnes saya bermula sejak tahun 2015, melibatkan tiga bidang utama:

  • Software Engineering
  • E-commerce (apparel)
  • Logistik & penghantaran antarabangsa

Saya bermula dalam dunia engineering, kemudian mula menceburi e-commerce secara aktif pada tahun 2017. Pada tahun yang sama, saya mula mengurus dan menjalankan Facebook Ads sendiri untuk bisnes-bisnes yang saya kendalikan.

Selepas fasa pandemik COVID-19, pada tahun 2021, saya mengembangkan operasi ke bidang logistik, khususnya perkhidmatan penghantaran China–Malaysia. Setiap fasa ini memberi saya perspektif yang berbeza tentang pemasaran, operasi, kos, margin, dan realiti sebenar bisnes.

Kelas marketing percuma ini diwujudkan atas permintaan rakan-rakan sendiri yang meminta saya berkongsi ilmu dan pengalaman. Untuk memudahkan proses pembelajaran dan rujukan, saya membangunkan laman web ini sebagai satu platform pembelajaran yang lebih tersusun.

Sebahagian besar kandungan yang dikongsikan di sini sebenarnya datang daripada video latihan dalaman syarikat saya, yang asalnya digunakan untuk melatih staff marketing saya sendiri. Ia bukan kandungan rekaan semata-mata untuk jual kursus, tetapi bahan sebenar yang digunakan dalam operasi harian bisnes.

Dari tahun 2017 sehingga hari ini, pengalaman saya dalam Facebook Ads dibina melalui:

  • Kesilapan sebenar yang melibatkan kos dan kerugian
  • Ujian iklan dalam pelbagai industri
  • Pembacaan dan rujukan daripada sumber rasmi dan dokumentasi asal Meta (Facebook)

Pada peringkat awal, semua pemasaran Facebook Ads untuk bisnes saya dikendalikan sendiri, sebelum saya mula membina pasukan dan melantik staff untuk menguruskan operasi harian. Pada masa kini, peranan saya lebih tertumpu kepada pemantauan prestasi, strategi, dan hala tuju, manakala pasukan saya menguruskan day-to-day operation.

Apa yang anda pelajari di sini adalah pengalaman sebenar, daripada bisnes yang telah dan sedang saya jalankan, bukan teori kosong, bukan janji manis, dan bukan jalan pintas.